Law of Attraction

3 Step Formula For Deliberate Attraction

Step 1: Identify Your Desire
(Clarify Through Contrast)

Step 2: Give Your Desire Attention
(What Are You Including In Your Vibration)

Step 3: Allow It
(Removing Doubt & Negative Vibration)

source: Law of Attraction , Micheal J. Losier

Keluarga balu kedua Raja Nong Chik dibenar mencelah

PUTRAJAYA 8 Mei - Keluarga balu kedua kepada Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak dibenarkan mencelah dalam rayuan Amanah Raya Berhad (ARB) berhubung pembahagian harta pusaka milik ahli perniagaan terkenal itu yang dianggarkan melebihi RM16 juta.

Ahli keluarga tersebut merupakan lima anak kepada balu kedua, Jumaaton @ Zaiton Awang. Mereka ialah Raja Delila, Raja Yurihana, Raja Iskandar, Raja Akbar dan Raja Norlina.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing membenarkan permohonan kesemua pemohon setelah berpuas hati bahawa mereka adalah penama yang sah dan mempunyai kepentingan secara langsung dalam rayuan melibatkan tuntutan harta pusaka itu.

Allahyarham Raja Nong Chik dikatakan meninggalkan harta pusaka dianggarkan melebihi RM16 juta tanpa sebarang wasiat ketika meninggal dunia pada 10 Februari 1994.

Beliau menyatakan, pemohon-pemohon memenuhi syarat untuk dinamakan sebagai pencelah setelah membuktikan bahawa kehadiran mereka mempunyai kaitan langsung dengan isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut.

Hakim Hop Bing turut menyatakan, Perintah 15 Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk memasukkan mana-mana pemohon sebagai pihak dalam rayuan.

Penghakiman sebulat
suara itu turut diputuskan oleh Hakim Datuk Sulong Matjeraie dan Hakim Datuk Ramly Ali.

ARB merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman ke atas balu pertama allahyarham, Raja Rajmah Raja Chik dan 12 yang lain melibatkan sejumlah unit saham dalam empat buah syarikat.

Rayuan tersebut akan didengar di hadapan panel yang sama pada 22 Jun ini. Peguam-peguam G. Ragumaren dan Renu Zechariah mewakili kelima-lima pemohon.

Anak-anak allahyarham bersama balu pertama ialah Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin, Raja Noraini dan Cik Normah merupakan defendan kedua hingga ketujuh.

ARB juga menamakan Syarikat Lambang Tenaga Putra Sdn. Bhd. (defendan kelapan), Furukawa Electric Cables (M) Sdn. Bhd. (defendan kesembilan), Shorga Sdn. Bhd. (defendan ke-10), Malayan Zips Sdn. Bhd. (defendan ke-11), Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat (defendan ke-12) dan Chong Fook Sin (defendan ke-13).

Ketika di Mahkamah Tinggi, ARB menuntut perintah agar perpindahan saham-saham milik allahyarham kepada pihak lain diisytiharkan sebagai tidak sah.

Pemohon-pemohon menyatakan, hak mereka selaku penama yang sah dinafikan berikutan tindakan Raja Rajmah dan 12 defendan lain yang dikatakan memindahkan saham secara penipuan menyebabkan pemohon-pemohon mengalami kerugian.

Pada 7 April 2004, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membatalkan saman itu dengan kos dibayar oleh ARB.Dalam pernyataan tuntutan, ARB selaku pentadbir harta pusaka allahyarham mendakwa beliau memiliki 1,000 unit saham di dalam syarikat Lambang Tenaga, 2,139,152 unit saham dalam syarikat Furukawa, 552,000 unit saham dalam Shorga dan 248,000 unit saham dalam Malayan Zips.

*Dipetik dari Utusan Malaysia 9 Mei 2009

Keluarga arwah suami tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta diwarisi menantu dan cucu lelakinya

Soalan:
SAYA seorang janda berusia 24 tahun yang kematian suami. Saya makan hati dengan keluarga arwah suami. Saya adalah menantu perempuan sulung keluarga arwah suami. Saya bersama arwah mendirikan rumah tangga pada hujung tahun 2007 dengan restu kedua-dua ibu bapa kami. Suami saya baru meninggal dunia lima bulan lalu dalam kemalangan ketika pulang dari kerja. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung.

Pada hari itu, ketika jenazah belum sampai di rumah, keluarga arwah sudah mengira harta suami. Hati saya hancur dengan sikap mereka, tambahan ibu mentua menyatakan saya hanya bernikah dengan anaknya selama 10 bulan, sedangkan dia menjaga anaknya ketika kakinya masih merah. Bayangkan betapa pedihnya hati saya sebagai isteri.

Hari demi hari keluarga arwah merampas semua harta peninggalan suami untuk saya dan anak, yang juga darah daging mereka sendiri. Malah, ibu mentua pernah menyatakan tidak akan menyerahkan satu sen pun peninggalan suami kepada saya. Namun, saya berikhtiar untuk mencari jalan untuk membahagikan harta peninggalan mengikut hukum syarak sebagai seorang Islam.


lagi saya ditentang oleh ibu mentua, mereka tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta itu diwarisi anak lelaki kami. Ikutkan hati, saya tidak mahu menyakiti hati ibu mentua dan keluarganya kerana mereka bagaikan ibu bapa saya sendiri. Kini saya buntu puan, hanya kecekalan hati dan ketabahan dalam diri ini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin Allah sedang menguji saya sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Kini saya hanya ingin membesarkan anak saya dan mendidiknya sehingga menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Namun, saya ingin memperjuangkan hak anak saya. Puan bantulah saya untuk menghadapi situasi begini.

Dewi Permata

Jawapan:
JODOH pertemuan dan ajal maut memang di tangan Tuhan, namun Tuhan tidak membenarkan kita untuk hanya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa usaha. Tuhan sudah berjanji tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak berusaha mengubahnya.

Dalam proses ini kita tidak dibenarkan menimbulkan pergaduhan dan perselisihan yang melanggar hukum adat kehidupan. Dalam keadaan anda sekarang, anda harus jelas dan pasti apa jenis harta yang ditinggalkan oleh arwah suami. Jika benar-benar ada yang berbaloi dituntut seperti kereta, rumah, simpanan atau disebut harta tetap dan harta mudah alih yang perlu dituntut, anda boleh menuntutnya di mahkamah mengikut undang-undang. Ini adalah prosedur biasa. Buat laporan dan kemukakan tuntutan anda secara rasmi.

Tapi jika harta itu hanya barang peribadi milik arwah yang mudah alih dan luput seperti pakaian, rasanya tidak perlulah dikecohkan kerana menghormati roh arwah yang sedang di alam barzakh agar damai dan tenteram. Apatah lagi jika anda tidak tinggal serumah atau berdekatan dengan mentua. Jangan sampai kerana peninggalan yang sedikit ini akan meretakkan hubungan anda dengan nenek kepada anak anda.

Jika difikirkan secara sihat, anda sedang memiliki peninggalan arwah yang paling mahal dan paling penting iaitu waris keturunannya yang akan menjadi pelindung, penawar dan talian hayat anda ke syurga nanti iaitu anaknya. Inilah hadiah teragung daripada seorang suami. Pada pandangan Umi, jagalah harta termahal ini. Dengan penuh kasih sayang dan usaha yang gigih dan keyakinan yang tinggi bahawa setiap anak yang lahir itu ada rezekinya, maka berusahalah untuk berdikari mencari rezeki dari Allah untuk hidup bersama anak anda, pasti anda akan berasa puas dengan peninggalan suami anda yang satu-satunya ini. Yakinlah, ada masa depan cerah untuk anda dan anak yang disediakan Allah. Biarlah apa yang dilakukan oleh ibu mentua anda itu sebagai pengajaran untuk anda tidak melakukannya kepada orang lain nanti.

Tidak ada harga yang kekal dan mencukupi selamanya, pasti akan habis jua. Lagipun, harta pusaka jika disalah gunakan akan menimbulkan kesan negatif pada pemiliknya. Serahkan rezeki anda dan anak kepada Allah dengan keyakinan bahawa telah ditakdirkan Allah tidak akan ada orang lain yang akan mengambil rezeki yang telah ditetapkan untuk kita.

Jika ini anda yakini anda tidak akan tamak kepada peninggalan arwah suami atau mana-mana harta yang menggoda kita. Laluilah dengan tenang agar anak anda menikmati kasih sayang anda sepenuhnya, kerana dia sudah kehilangan satu kasih sayang yang sangat mahal. Umi juga ingin berpesan anda sedang memelihara anak hebat, iaitu anak yatim. Siapa yang memakan harta anak yatim akan sulit hidupnya, malah haram hukumnya jika diperlakukan secara tidak adil.

Oleh itu rawatlah emosi anda dengan baik kerana kehilangan orang tercinta membuat anda mengalami goncangan yang kuat di jiwa. Allah berpesan, ....jangan berduka terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada mu (QS Al: Hadid:23) dan dipesan Rasulullah SAW “sesungguhnya kesabaran itu ada pada hentakan pertama.”

Dari pesanan ini jelas sesiapa yang mampu menguasai perasaan dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dialah orang yang benar-benar memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan. Maka laluilah hidup anda seadanya sebagai hamba Allah.

*Dipetik dari Ruangan Kaunselor Anda bersama Dr Rubiah K Hamzah, Berita Minggu 2009

Harta pusaka RM42 bilion belum dituntut

KUALA LUMPUR 1 April - Sejumlah RM42 bilion wang tunai dan aset milik individu yang telah meninggal dunia kini masih dalam simpanan Amanah Raya Berhad kerana tidak dituntut oleh waris-waris mereka.

Daripada jumlah itu, RM41 bilion mewakili aset dalam bentuk geran tanah, rumah, bangunan serta saham syarikat dan selebihnya wang tunai.

Pengurus Besar As-Salihin Trustee Berhad (As-Salihin), Jasmin Jamaluddin berkata, wang tunai dan aset itu masih dibekukan sehingga kini kerana tiada waris tampil menuntut hak mereka.

Dalam kes harta orang Islam, katanya, pembekuan harta itu berlaku kerana kebanyakan umat Islam masih kurang berpengetahuan mengenai perancangan dan penulisan wasiat kepada waris.

''Memang betul harta boleh dibahagikan kepada waris menggunakan hukum faraid yang telah ditetapkan oleh Islam.

''Namun, urusan wasiat akan lebih terancang jika individu tersebut menulis wasiat dan tidak timbul pembekuan wang tunai atau aset si mati yang disimpan di dalam bank," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hanya 1,000 orang membuat penulisan wasiat harta atau syarikat kepada As-Salihin sepanjang tahun lalu.

Katanya, masalah timbul jika seseorang individu tidak sempat menulis wasiat dan urusan pembahagian harta lebih rumit jika pewaris tidak mengetahui si mati mempunyai wang tunai atau aset di mana-mana bank.

Yayasan Bakti Kebajikan Masyarakat bersama As-Salihin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Koperasi Pembangunan Komuniti Malaysia Berhad akan mengadakan seminar bertajuk Perancangan Harta Individu dan Harta Syarikat Islam di ibu negara pada 31 Mei ini.

Orang ramai yang berminat menyertai seminar itu boleh menghubungi YBKMM di talian 03-42962071 atau melayari laman web http://www.perkhidmatansukarelawanmalaysia.dbizworld.biz/.

*Dipetik dari Utusan Malaysia 2 April 2009

Tak telus urus harta RM5j milik 400 penama


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mendakwa dia dan 50 ahli keluarga lain menjadi mangsa putar belit pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta pusaka bernilai lebih RM5 juta milik nenek moyangnya sejak 17 tahun lalu.

Zainal Ibrahim, 50, yang juga pesara polis, berkata kejadian bermula sejak 1992 apabila pemegang amanah itu menjual tanah pusaka di Lot 883, Johor Bahru yang diwariskan kepada 400 penama dengan harga RM5.8 juta.

“Berdasarkan laporan penjualan yang diperoleh, pemegang amanah terbabit turut mencatatkan pembelian dua lot tanah di Kempas yang bernilai kira-kira RM35,000 sebagai syarat penjualan.

“Selepas dijual pada harga RM5.8 juta, pemegang amanah melakukan pembahagian kepada 400 penama dengan agihan RM6,000 seorang,” katanya.

Menurut Zainal, dia dan keluarganya mula curiga dengan tindak-tanduk pemegang amanah berikutan tidak membekalkan sebarang dokumen pengesahan penjualan harta berkenaan selain tidak telus dalam pembahagian hasil.

“Apabila pengagihan dibuat, kami mendapat tahu ada waris yang tercicir daripada senarai, malah maklumat sebenar mengenai harga jualan dan laporan terperinci berhubung urus niaga tidak diserahkan sebagaimana sepatutnya.

“Atas sebab itu, kami sekeluarga mengambil keputusan ke Balai Polis Central, Johor Bahru untuk membuat laporan yang bertarikh 2 Disember 1992,” katanya.

Zainal berkata masalah itu berlalu tanpa tindakan pihak berkuasa dan keluarganya semakin keliru apabila mendapat tahu lot tanah di Kempas turut dijual kepada syarikat pemaju antara 2002 hingga 2003.

“Saya difahamkan yang Lot 1835 dan 1836 di Kempas itu dijual dengan harga kira-kira RM2 juta sebelum hasilnya dibahagikan kepada beberapa waris yang tahu mengenai penjualan tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, pemegang amanah berkenaan bijak meneruskan agenda dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa sebelum menegaskan tanah di Kempas tidak dijual kepada sesiapa.

“Ini jelas menunjukkan pemegang amanah tidak lagi boleh dipercayai dan seharusnya disiasat pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengetahui ke mana perginya wang milik pewaris harta berkenaan,” katanya.

Atas dasar tidak berpuas hati, Zainal dan kakaknya, Zainon, 52, membuat semakan di beberapa agensi berkaitan termasuk syarikat yang berurusan dengan pemegang amanah.

“Namun kami sekeluarga hairan apabila pemegang amanah tiba-tiba berbuat baik dengan menyerahkan cek bernilai RM8,000 hanya untuk ibu saya pada 18 Disember 2003.

“Persoalan berhubung wang RM8,000 itu terungkai apabila kami mendapat maklumat yang mendakwa lot tanah asal bukan dijual dengan harga RM5.8 juta sebagaimana direkodkan sebaliknya ia bernilai RM9 juta,” katanya.

* Dipetik dari Harian Metro 26 Mei 2009



Daripada artikel di atas, terdapat 2 perkara yang perlu kita fikirkan tentang harta-harta yang akan kita tinggalkan:

1) Perlantikan Wasi
Adalah sesuatu yang penting untuk kita memikirkan tentang perlantikan wasi atau penjaga amanah yang akan menguruskan harta pusaka yang akan kita tinggalkan. Semasa kita hidup kita berhak dan bebas untuk memilih sesiapa sahaja yang kita rasakan layak, berkemampuan dan jujur untuk mentadbir harta pusaka tersebut.

Selepas kita meninggal dunia, harta yang kita miliki akan menjadi harta pusaka dan menjadi hak semua waris yang layak. Walaubagaimanapun, harta pusaka tersebut tidak akan secara automatik menjadi hak milik mereka. Ianya perlu ditadbir dan ianya juga mengambil masa yang agak lama untuk dibahagikan.

Pemilihan wasi atau pentadbir yang berkemampuan dan jujur amat penting untuk memastikan harta pusaka tersebut diagihkan mengikut yang sepatutnya, tidak berlaku pergaduhan dan penipuan serta mengambil masa yang singkat untuk diagihkan.

2) Pembahagian
Sebagai umat Islam, pembahagian harta pusaka adalah mengikut faraid, melainkan si mati ada meninggalkan wasiat. Waris-waris yang berhak terhadap harta pusaka adalah terdiri daripada bapa, ibu, pasangan dan anak-anak. Dalam sesetengah situasi, adik beradik, ibu dan bapa saudara serta cucu-cucu si mati juga merupakan waris yang berhak. Secara kebiasaannya, waris-waris si mati mungkin hanya terdiri daripada 1 hingga 15 orang.

Tanpa perancangan yang teratur, maka berlakulah tuntutan waris seramai 400 orang seperti artikel di atas. Bukankah ianya satu kerugian kepada waris-waris si mati selain menyukarkan proses pembahagian?

Pengikut:

 

Islamic Wealth Planning | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates