Mohon hak jaga 2 cucu

SHAH ALAM: Ibu bapa kepada angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, semalam memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan dua cucu daripada bekas menantu, selepas kematian anak mereka, Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie Sheikh Mustapha.

Pada 23 Disember tahun lalu, bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, 74, dan ibunya, Datin Zuraida Sheikh Ahmad, 64, selaku plaintif memfailkan permohonan hak penjagaan dua cucunya terhadap Haryati Mohd Redza, 31, dan besannya, Kamar Aziah Abdullah, 61.

Permohonan dibuat selepas adik angkasawan itu, Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie meninggal dunia pada 27 Oktober 2007.

Allahyarham mempunyai dua cahaya mata iaitu Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 4, dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 2.

Sheikh Mustapha Al Masrie yang bekerja sebagai jurutera awam meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.


Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii menetapkan 12 Ogos depan untuk sebutan semula.

Ia berikutan, peguam syarie, Zulkarnain Lukman yang mewakili ibu bapa angkasawan itu memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan secara persetujuan bersama dengan Haryati.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zulkarnain memberitahu anak guamnya memfailkan permohonan berkenaan mengikut Seksyen 87 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kerana kanak-kanak itu rapat dengan plaintif yang tinggal bersama mereka sejak kecil.

Menurutnya, dalam pembelaan Haryati menyatakan hak penjagaan kanak-kanak itu harus diberikan kepadanya memandangkan dia ibu kandung mereka.

Sementara itu, peguam Suraiti Abd Ghani yang mewakili Haryati dan Kamar Aziah memberitahu anak guamnya turut menuntut nafkah daripada plaintif di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dan akan disebut pada 7 Julai ini.

* Dipetik dari Harian Metro 30 Jun 2009

0 comments:

Pengikut:

 

Islamic Wealth Planning | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates