Pengurusan Harta Pusaka


Hak Muslim: Mohon surat kuasa tadbir, sijil faraid serentak permudah tuntut harta

SAYA ialah anak lelaki sulung daripada lima beradik. Pada Julai lalu, bapa meninggal dan kemudian saya ke pejabat tanah untuk memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka. Saya diberitahu supaya memfailkan LA di Mahkamah Tinggi kerana pejabat tanah tidak mempunyai kuasa terhadap aset arwah bapa melebihi RM600,000. Apakah LA? Bagaimanakah proses untuk mendapatkannya? Bilakah pula saya perlu memohon sijil faraid.

Halim, Kuala Trengganu.



Undang-undang yang diguna pakai untuk mentadbir harta pusaka umat Islam ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) bagi harta pusaka RM600,00 ke atas dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) bagi harta kurang RM600,000.

LA ialah singkatan kepada letter of administration atau surat kuasa mentadbir. Permohonan surat ini perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil kerana harta pusaka arwah bapa anda melebihi RM600,000.

Menurut Aturan 30 Akta 97, surat kuasa mentadbir diberikan kepada sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu. Permohonan boleh dibuat anda sebagai anak sulung atau bersama ahli waris lain mengikut persetujuan keluarga seperti diperuntukkan mengikut Aturan 41 Akta 97 yang membenarkan sehingga maksimum empat pentadbir.

Jika ada waris mengalami kecacatan otak dan tidak berupaya menguruskan diri, permohonan pelantikan sahabat wakil (guardian ad-litem) perlu dibuat bersama permohonan surat kuasa mentadbir.

Langkah pertama yang perlu diambil ialah mendapatkan sijil kematian asal bapa di Pejabat Pendaftaran Negara, membuat salinan kad pengenalan waris yang masih hidup, salinan dokumen berkaitan dengan harta pusaka si mati seperti geran tanah, perjanjian jual beli, kad pendaftaran kenderaan, penyata akaun dan sebarang penyata hutang si mati.

Menurut Aturan 71 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi permohonan surat kuasa harus difailkan bersama dokumen berikut:

  • Petisyen untuk surat kuasa mentadbir.
  • Senarai aset dan liabiliti si mati.
  • Afidavit pengesahan pempetisyen.
  • Surat penolakan waris yang tidak menjadi pentadbir.
  • Sumpah pentadbiran.
  • Notis pelantikan peguam jika diwakili.

Selepas permohonan difailkan, mahkamah menetapkan tarikh pendengaran di hadapan Penolong Kanan Pendaftar dan anda sebagai pemohon perlu hadir pada hari pendengaran itu.

Lebih menjimatkan masa jika permohonan surat kuasa mentadbir dan sijil faraid dibuat serentak, kerana kedua-dua permohonan itu dalam bidang kuasa mahkamah berlainan. Surat kuasa mentadbir di Mahkamah Tinggi Sivil, manakala sijil faraid di Mahkamah Syariah.

Namun, jika isteri si mati berhasrat menuntut harta sepencarian di Mahkamah Syariah, tuntutan perlu diselesaikan dulu sebelum harta pusaka difaraidkan.

Seksyen 35(2) Akta Probet Pentadbiran 1959, memperuntukkan sebelum surat kuasa mentadbir (geran) dikeluarkan, pentadbir dikehendaki mengemukakan dua penjamin yang mempunyai aset melebihi atau menyamai nilai aset si mati dan ia bebas hutang.

Jika tidak, buat pengecualian dengan memfailkan permohonan dalam bentuk saman di kamar bersama afidavit yang menjelaskan alasan kepada mahkamah untuk dikecualikan daripada mengemukakan dua penjamin.

Selepas sijil faraid diperoleh, anda perlu membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mendapatkan perintah pembahagian harta pusaka.

Permohonan Pembahagian perlu dibuat dengan memfailkan saman pemula dan afidavit menyokong permohonan itu.

Adalah penting untuk dinyatakan kepada mahkamah cara pembahagian dibuat sama ada persetujuan bersama atau ikut hukum faraid. Selain itu, persetujuan waris lain perlu diperoleh dan persetujuan perlu difailkan dalam bentuk afidavit bersama saman pemula dan afidavit anda tadi.

Jika pembahagian atau penyelesaian secara faraid, sijil faraid mesti diperoleh sebelum membuat permohonan dan dilampirkan dalam permohonan pembahagian.

Selepas permohonan ini difailkan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dalam kamar.

Jika diwakili peguam, kehadiran anda boleh dikecualikan dan hanya peguam hadir pada masa itu. Anda dinasihatkan merujuk peguam bagi melancarkan proses perjalanan kes berkenaan.

Jawapan disediakan Yusmawati Abdullah, Exco Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http:// www.peguamsyarie.org

Dipetik Dari Berita Harian 13 Ogos 2009

0 comments:

Pengikut:

 

Islamic Wealth Planning | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates