Akibat Penjaga Amanah Tidak Jujur

Tak telus urus harta RM5j milik 400 penama


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mendakwa dia dan 50 ahli keluarga lain menjadi mangsa putar belit pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta pusaka bernilai lebih RM5 juta milik nenek moyangnya sejak 17 tahun lalu.

Zainal Ibrahim, 50, yang juga pesara polis, berkata kejadian bermula sejak 1992 apabila pemegang amanah itu menjual tanah pusaka di Lot 883, Johor Bahru yang diwariskan kepada 400 penama dengan harga RM5.8 juta.

“Berdasarkan laporan penjualan yang diperoleh, pemegang amanah terbabit turut mencatatkan pembelian dua lot tanah di Kempas yang bernilai kira-kira RM35,000 sebagai syarat penjualan.

“Selepas dijual pada harga RM5.8 juta, pemegang amanah melakukan pembahagian kepada 400 penama dengan agihan RM6,000 seorang,” katanya.

Menurut Zainal, dia dan keluarganya mula curiga dengan tindak-tanduk pemegang amanah berikutan tidak membekalkan sebarang dokumen pengesahan penjualan harta berkenaan selain tidak telus dalam pembahagian hasil.

“Apabila pengagihan dibuat, kami mendapat tahu ada waris yang tercicir daripada senarai, malah maklumat sebenar mengenai harga jualan dan laporan terperinci berhubung urus niaga tidak diserahkan sebagaimana sepatutnya.

“Atas sebab itu, kami sekeluarga mengambil keputusan ke Balai Polis Central, Johor Bahru untuk membuat laporan yang bertarikh 2 Disember 1992,” katanya.

Zainal berkata masalah itu berlalu tanpa tindakan pihak berkuasa dan keluarganya semakin keliru apabila mendapat tahu lot tanah di Kempas turut dijual kepada syarikat pemaju antara 2002 hingga 2003.

“Saya difahamkan yang Lot 1835 dan 1836 di Kempas itu dijual dengan harga kira-kira RM2 juta sebelum hasilnya dibahagikan kepada beberapa waris yang tahu mengenai penjualan tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, pemegang amanah berkenaan bijak meneruskan agenda dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa sebelum menegaskan tanah di Kempas tidak dijual kepada sesiapa.

“Ini jelas menunjukkan pemegang amanah tidak lagi boleh dipercayai dan seharusnya disiasat pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengetahui ke mana perginya wang milik pewaris harta berkenaan,” katanya.

Atas dasar tidak berpuas hati, Zainal dan kakaknya, Zainon, 52, membuat semakan di beberapa agensi berkaitan termasuk syarikat yang berurusan dengan pemegang amanah.

“Namun kami sekeluarga hairan apabila pemegang amanah tiba-tiba berbuat baik dengan menyerahkan cek bernilai RM8,000 hanya untuk ibu saya pada 18 Disember 2003.

“Persoalan berhubung wang RM8,000 itu terungkai apabila kami mendapat maklumat yang mendakwa lot tanah asal bukan dijual dengan harga RM5.8 juta sebagaimana direkodkan sebaliknya ia bernilai RM9 juta,” katanya.

* Dipetik dari Harian Metro 26 Mei 2009



Daripada artikel di atas, terdapat 2 perkara yang perlu kita fikirkan tentang harta-harta yang akan kita tinggalkan:

1) Perlantikan Wasi
Adalah sesuatu yang penting untuk kita memikirkan tentang perlantikan wasi atau penjaga amanah yang akan menguruskan harta pusaka yang akan kita tinggalkan. Semasa kita hidup kita berhak dan bebas untuk memilih sesiapa sahaja yang kita rasakan layak, berkemampuan dan jujur untuk mentadbir harta pusaka tersebut.

Selepas kita meninggal dunia, harta yang kita miliki akan menjadi harta pusaka dan menjadi hak semua waris yang layak. Walaubagaimanapun, harta pusaka tersebut tidak akan secara automatik menjadi hak milik mereka. Ianya perlu ditadbir dan ianya juga mengambil masa yang agak lama untuk dibahagikan.

Pemilihan wasi atau pentadbir yang berkemampuan dan jujur amat penting untuk memastikan harta pusaka tersebut diagihkan mengikut yang sepatutnya, tidak berlaku pergaduhan dan penipuan serta mengambil masa yang singkat untuk diagihkan.

2) Pembahagian
Sebagai umat Islam, pembahagian harta pusaka adalah mengikut faraid, melainkan si mati ada meninggalkan wasiat. Waris-waris yang berhak terhadap harta pusaka adalah terdiri daripada bapa, ibu, pasangan dan anak-anak. Dalam sesetengah situasi, adik beradik, ibu dan bapa saudara serta cucu-cucu si mati juga merupakan waris yang berhak. Secara kebiasaannya, waris-waris si mati mungkin hanya terdiri daripada 1 hingga 15 orang.

Tanpa perancangan yang teratur, maka berlakulah tuntutan waris seramai 400 orang seperti artikel di atas. Bukankah ianya satu kerugian kepada waris-waris si mati selain menyukarkan proses pembahagian?

0 comments:

Pengikut:

 

Islamic Wealth Planning | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates