Harta pusaka RM42 bilion belum dituntut

KUALA LUMPUR 1 April - Sejumlah RM42 bilion wang tunai dan aset milik individu yang telah meninggal dunia kini masih dalam simpanan Amanah Raya Berhad kerana tidak dituntut oleh waris-waris mereka.

Daripada jumlah itu, RM41 bilion mewakili aset dalam bentuk geran tanah, rumah, bangunan serta saham syarikat dan selebihnya wang tunai.

Pengurus Besar As-Salihin Trustee Berhad (As-Salihin), Jasmin Jamaluddin berkata, wang tunai dan aset itu masih dibekukan sehingga kini kerana tiada waris tampil menuntut hak mereka.

Dalam kes harta orang Islam, katanya, pembekuan harta itu berlaku kerana kebanyakan umat Islam masih kurang berpengetahuan mengenai perancangan dan penulisan wasiat kepada waris.

''Memang betul harta boleh dibahagikan kepada waris menggunakan hukum faraid yang telah ditetapkan oleh Islam.

''Namun, urusan wasiat akan lebih terancang jika individu tersebut menulis wasiat dan tidak timbul pembekuan wang tunai atau aset si mati yang disimpan di dalam bank," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hanya 1,000 orang membuat penulisan wasiat harta atau syarikat kepada As-Salihin sepanjang tahun lalu.

Katanya, masalah timbul jika seseorang individu tidak sempat menulis wasiat dan urusan pembahagian harta lebih rumit jika pewaris tidak mengetahui si mati mempunyai wang tunai atau aset di mana-mana bank.

Yayasan Bakti Kebajikan Masyarakat bersama As-Salihin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Koperasi Pembangunan Komuniti Malaysia Berhad akan mengadakan seminar bertajuk Perancangan Harta Individu dan Harta Syarikat Islam di ibu negara pada 31 Mei ini.

Orang ramai yang berminat menyertai seminar itu boleh menghubungi YBKMM di talian 03-42962071 atau melayari laman web http://www.perkhidmatansukarelawanmalaysia.dbizworld.biz/.

*Dipetik dari Utusan Malaysia 2 April 2009

0 comments:

Pengikut:

 

Islamic Wealth Planning | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates